WHY YOU MUST BE ENTREPRENEUR?

"Perniagaan yang terbaik adalah perniagaan yang kita suka dan seronok jalankan serta menguntungkan dunia akhirat"

Thursday, 9 October 2014

2# Artikel tentang Budaya Keusahawanan



Budaya keusahawanan adalah ekspresi sikap sosial yang positif terhadap perniagaan dan perlu disemai untuk memperkuat proses pembangunan insan dalam sektor perniagaan dan perusahaan. Satu kajian akan dilaksanakan untuk mengenalpasti pandangan belia terhadap aktiviti keusahawanan, mengenalpasti potensi, kompetensi, sikap, ciri dan aspirasi keusahawanan belia mengikut kumpulan etnik, mengenalpasti sumber dorongan belia dalam menceburi bidang keusahawanan dan mengenalpasti strategi memantapkan budaya keusahawanan di kalangan belia. Bagi mengkaji permasalahan ini, sebanyak empat persoalan kajian yang berkaitan telah dibentuk. Kaedah kuantitatif akan digunakan dengan menyediakan borang soal selidik. Sampel kajian terdiri daripada 40 responden belia dari golongan yang berbeza kerjaya dan kumpulan etnik. 

Budaya keusahawanan ialah sifat-sifat positif yang dimiliki oleh seseorang individu seperti tabah, cekal dan sentiasa bersemangat. Sifat-sifat keusahawanan juga boleh menjadi modal dan aset untuk berniaga dan boleh meyakinkan orang lain. Budaya keusahawanan perlu dipupuk bermula daripada peringkat sekolah melalui program-program keusahawanan yang dijalankan oleh pelajar dan dibimbing oleh guru-guru yang berpengalaman. Budaya ini juga perlu dipupuk pada peringkat IPT dengan menawarkan kursus, program, seminar, atau aktiviti kepada mahasiswa supaya dapat memupuk minat dan mendorong mereka untuk menceburi bidang keusahawanan. Pembudayaan ini penting dan perlu disemai di kalangan belia terutamanya golongan Bumiputera supaya mereka tidak boleh mengharapkan bekerja di sektor kerajaan dan bantuan kerajaan semata-mata. Mereka perlulah lebih berdikari untuk menceburi bidang lain seperti bidang perniagaan ataupun keusahawanan.

Pembudayaan keusahawanan akan melahirkan usahawan yang kreatif dalam mencari jalan penyelesaian terhadap sebarang permasalahan yang dihadapi. Oleh itu, usahawan perlu sensitif dan sedia bertanggungjawab terhadap kesan yang akan diterima oleh masyarakat akibat daripada kegiatan keusahawanan yang dijalankan. Di samping itu, melalui pembudayaan keusahawanan akan membolehkan usahawan mengemblengkan serta memanfaatkan potensi, reputasi dan sumber-sumber yang ada untuk manfaat diri sendiri, perniagaan, pelanggan dan juga masyarakat keseluruhannya.

Bagi mendapatkan hasil penyelidikan yang lebih baik, dicadangkan supaya para penyelidik pada masa hadapan dapat mengasingkan responden mengikut jantina iaitu memberi tumpuan kepada wanita dalam keusahawanan kerana wanita mampu untuk memajukan diri dalam bidang keusahawanan. Selain itu, penyelidik juga dapat mengasingkan responden mengikut program pengajian untuk meningkatkan lagi kualiti hasil kajian kelak. Selain itu, pengkaji pada masa hadapan dapat memperluaskan lagi pengambilan sampel kajian ke institusi-institusi yang lain selain daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris dan belia yang tinggal di kawasan yang lain selain daripada Tanjong Malim. Perbezaan antara lokasi juga boleh menghasilkan dapatan yang berguna.

Kajian seterusnya boleh ditumpukan kepada perbezaan-perbezaan aspirasi kerjaya keusahawanan di kalangan pelajar institusi latihan di Malaysia dengan negara-negara lain. Ianya bertujuan untuk melihat aspirasi kerjaya dalam kalangan pelajar di Malaysia dengan pelajar negara lain bagi membandingkan faktor-faktor lain yang menarik minat pelajar untuk memilih kerjaya sebagai usahawan.

Selain itu, kajian juga boleh dilakukan dengan menggunakan teknik temubual bagi memahami secara lebih mendalam lagi terhadap sikap, minat dan amalan kerjaya keusahawanan dan faktor-faktor penolakan dan pemilihan kerjaya keusahawanan di kalangan belia serta mencari strategi yang sesuai bagi memantapkan budaya keusahawanan di kalangan belia. Ini kerana secara temubual, pengkaji pada masa hadapan dapat memerhatikan cara gaya responden menjawab soalan dan maklumat jawapan yang diberikan adalah lebih tepat dan jitu.

Diharapkan juga pengkaji pada masa hadapan dapat menjalankan kajian yang lebih terperinci lagi untuk melihat dan membandingkan usahawan dan budaya keusahawanan antara etnik tidak kira usahawan muda, usahawan belia dan usahawan berjaya supaya dapat mengenalpasti perbezaan budaya keusahawanan mengikut etnik. Maka, dapat membantu memupuk dan memantapkan budaya keusahawanan di kalangan usahawan dan peningkatan aspirasi kerjaya keusahawanan pelajar-pelajar di Malaysia.





No comments:

Post a Comment